Saturday, May 14, 2011

Nabi Muhammad sebagai Uswatun Hasanah

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu
menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan
keluarga mahupun untuk dijual. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat
tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum
baginda menyinsing
lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah
menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan
rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid,
dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang." Pernah baginda
pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi
dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang
mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi
bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra
untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang
kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada
apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku
puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di
wajahnya. Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami
memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"
Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras
kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku
tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w. "Aku menanyakan mengapa
engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" Pernah baginda
bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut
terhadap isterinya. Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi
ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai
pemimpin umat.

      Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para
      sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain
      amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah
      sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu
      sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu
      langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami
      melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan
      sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat
      dan segar." "Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan
      tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan?
      Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.Akhirnya
      Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut
      baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu
      kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang
      menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
      "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya
      makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda
      menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan
      engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di
      hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban
      kepada umatnya? "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku,
      agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih
      lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak." Baginda pernah tanpa
      rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh
      kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya
      direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah
      di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat
      yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut
      perbuatan itu.Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa
      kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama
      sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH
      langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain,
      ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga
      telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi
      berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah
      hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah
      bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan
      jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya
      Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau
      masih bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya
      'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku
      ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."
      Rasulullah s. a. w. bersabda,"SAMPAIKANLAH PESANKU WALAUPUN SEPOTONG
      AYAT.."