Monday, July 11, 2011

BERSIHKAN KEZALIMAN & KETDAKADILAN!!




وَلَقَدْ أَتَوْا عَلَى الْقَرْيَةِ الَّتِي أُمْطِرَتْ مَطَرَ السَّوْءِ أَفَلَمْ يَكُونُوا يَرَوْنَهَا بَلْ كَانُوا لَا يَرْجُونَ نُشُوراً 
Dan demi sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih berdegil), tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya? (Mereka tidak fikirkan yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula (untuk menerima balasan).

Di dalam kitab At_Tahawi telah diriwayatkan sebuah
hadith Nabi s.a.w. Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya,
bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda yang maksudnya:
Bahawa Allah SWT telah memerintahkan malaikat supaya
mengazab seorang hamba Allah dengan seratus kali
pukulan, hamba itu bermohon kepada Tuhan supaya
diringankan azabnya. Lalu diperkenankan doanya dengan
mengurangkan azab dari seratus kali pukulan kepada
hanya sekali sahaja, iaitu dengan dinyalakan api
sepenuh kuburnya. Sahabat bertanya, apakah sebabnya
orang itu diazab demikian rupa. Jawab Nabi s.a.w.:
Sesungguhnya orang itu mendirikan solat dengan tidak
bertaharah (berwudhu'), selain itu dia melihat
saudaranya dizalimi tetapi membiarkannya sahaja.

Dari maksud hadith tersebut dapatlah difahami bahawa
Allah SWT telah memperkenankan rayuan seorang hamba
yang akan menghadapi hukuman azab dengan seratus kali
pukulan, tetapi dengan rahmat Allah jumlah azab
tersebut telah dikurangkan kepada satu sahaja. Tetapi
walaupun hanya sekali, tidak bermakna azab tersebut
menjadi ringan kerana azab yang sekali itu ialah
dengan dinyalakan api sepenuh kubur, dan api itu
adalah api yang didatangkan dari neraka Jahannam.

Kesalahan orang itu hanyalah sekadar mendirikan solat
tanpa memikirkan keadaan wudhu'nya, sama ada dia tidak
wudhu' ataupun melakukan wudhu' dengan tidak cermat
iaitu tidak sempurna basuhannya sehingga wudhu'nya
tidak sah. Selain itu dia membiarkan saudaranya
dizalimi, tanpa mengambil sebarang langkah untuk
membantu atau menolong saudaranya itu dari terus
dizalimi.

Jika dilihat dari sudut kesalahan yang dilakukan oleh
hamba Allah tersebut, bukanlah kesalahan dari jenis
dosa-dosa besar (minal kaba-ir). Didalam hadith yang
lain Nabi s.a.w. juga menyatakan, bahawa ada orang
yang diazab hanya disebabkan air kencing, iaitu mereka
yang memandang ringan perkara najis sehingga dia tidak
mengambil berat soal air kencingnya. Mereka tidak
berusaha untuk tuskan air kencing, akibatnya air
kencing yang tidak tus itu terkena pakaian, malangnya
pakaian tersebut pula digunakan untuk solat yang
akhirnya solatnya tidak sah.

Namun demikian kesalahan-kesalahan tersebut walaupun
bukan dari jenis dosa besar namun menyebabkan
kemurkaan Allah SWT, kerana apabila seseorang itu
mendirikan solat tanpa wudhu_ atau wudhu_nya tidak
sempurna basuhannya, menyebabkan wudhu_nya tidak sah,
maka dengan sendirinya solatnya juga menjadi tidak
sah.

Sesungguhnya kemurkaan Allah SWT itu tidak semestinya
berpunca dari dosa besar sahaja, dan sebaliknya rahmat
Allah Taala juga bukan semestinya hanya dari ibadah
atau amal yang besar sahaja, kadang-kadang dari
perbuatan atau amal yang ringan seperti bersugi dan
sebagainya, juga boleh menjadi sebab turunya rahmat
Allah Taala.

Kesempurnaan wudhu_ adalah kunci utama bagi
kesempurnaan solat yang hendak didirikan, justeru itu
seseorang mukmin seharusnya peka terhadap ibadah
wudhu_ itu. Sebagaimana yang dikehendaki di dalam
hokum fiqh, dia perlu memastikan bahawa tidak ada
sebarang perkara yang boleh menghalang
perlaksanaannya, dia pasti bahawa air yang digunakan
bukanlah air mutanajjis, air musta_mal atau air
mutaghaiyyir (air yang sudah berubah warnanya atau
rasanya disebabkan sesuatu anasir luaran).

Selain itu mereka juga mestilah meneliti sehingga
cukup pasti bahawa tidak ada benda-benda melekat pada
anggota wudhu_ yang boleh menghalang air sampai kepada
anggota wudhu_ seperti terkena cat, getah, sisik ikan
dan sebagainya.

Mungkin jarang orang yang menunaikan solat dengan
tidak berwudhu_, kecuali mereka yang jahil iaitu
mendirikan solat hanya sebagai hendak menunjuk-nunjuk
kepada orang bahawa dia sembahyang, sedangkan
sebenarnya dia tidak pernah sembahyang dan tidak tahu
langsung tentang ibadah solat. Tetapi solat tanpa
wudhu_ itu juga bererti wudhu_ yang tidak menepati
kehendak hokum syara_, sehingga menyebabkan hadas
kecil tidak terangkat, pada hal tujuan wudhu_ itu
ialah untuk mengangkat hadas kecil yang menjadi
penghalang bagi melaksanakan solat.

Kesalahan kedua ialah membiarkan saudaranya dizalimi,
apabila seseorang itu tidak mengambil sebarang langkah
mencegah kezaliman yang berlaku di hadapan matanya,
sedangkan dia boleh berbuat sesuatu, maka sama ertinya
dia membenarkan kezaliman itu berlaku. Sedangkan Nabi
s.a.w. menganjurkan umatnya supaya menolong saudaranya
yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Dalam ertikata
lain hendaklah dia mencegah saudaranya dari melakukan
kezaliman atau membela saudaranya yang dizalimi.

Islam mengajar umatnya supaya perihatin dan sensitif
terhadap sebarang  bentuk kezaliman. Kezaliman yang
menimpa umat Islam itu bukan sekadar ia ditindas,
dibunuh dan dihalau dari tanah airnya sendiri oleh
musuh-musuh mereka yang kejam, tetapi umat Islam juga
telah dizalimi dengan dipaksakan undang-undang yang
bukan datangnya dari Allah SWT kepada mereka, oleh
kerajaan dari kalangan umat Islam sendiri.

Jika tiada sebarang langkah yang diambil sama ada
secara individu atau secara jamaah bagi menghindarkan
undang-undang thagut itu dipaksakan terhadap umat
Islam, maka sama ertinya dengan membiarkan kezaliman
itu menimpa saudaranya di hadapan matanya sendiri.

Justeru itu penentangan terhadap kezaliman seperti ini
menjadi kewajiban yang mutlak di atas bahu umat Islam
seluruhnya, penentangan terhadap kezaliman adalah
suatu perjuangan. Tetapi perjuangan mestilah atas nama
jamaah, atau jamaah yang berlandaskan al-Quran dan
as-Sunnah. Kerana hanya melalui jamaah akan terbinanya
kekuatan, sesungguhnya yang lemah itu tidak mampu
mengatasi kezaliman yang sedang bermaharajalela.

Kesimpulannya bahawa setiap mukmin wajib menjaga
ibadah wudhu_nya iaitu melaksanakannya dengan cermat,
supaya solatnya tidak rosak disebabkan wudhu_ yang
rosak. Selain itu soal penentangan terhadap kezaliman
adalah menjaadi agenda utama dalam perjuangan secara
individu dan juga jamaah.

Tidaklah dikatakan seseorang itu pelampau apabila dia berkata seorang pemerintah itu wajib diderhakai kalau sudah jadi tekadnya menyekat manusia dari mengikuti jalan Allah dan memaksa mereka menggunakan hukum-hukum yang tidak kena mengena dengan syariat Allah seraya memfitnahkan mereka dalam agama mereka, meskipun pemerintah itu berpura-pura melahirkan dirinya sebagai seorang Islam. Kerana orang Islam tidak setuju pelantikannya sebagai pemerintah melainkan supaya dia menolong mereka dalam usaha agama mereka., agar agama kekal dalam negeri mereka dan terus tersebar ke serata pelosok dunia.

Monday, July 4, 2011

Etika melawak dan bergelak ketawa.



Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua.

Wanita itu berkata baginda “Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab “Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga.” Perempuan itu balik dan menangis. Baginda saw bersabda:


أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Maksudnya:
“Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman “ Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya.”

(Hr Tirmizi dan al-Baihaqi dgn sanad yg hasan)


Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata “ Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dgn kami.” Baginda menjawab:
نَعَمْ غَيْرَ أَنِّي لَا أَقُوْلُ إِلَّا حَقَّا

Maksudnya:
Ya aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar.

(Hr Tirmizi dan Ahmad – sanadnya hasan)

Disini Dr Yusuf Qardawi meletakkan lima etika yg perlu dipatuhi dalam bergurau senda:




Pertama:



Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa.

Nabi saw bersabda:

ويل للذي يحدث فيكذب ، ليضحك القوم ، ويل له ، ويل له.

Maksudnya:
Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.

(Hr Ahmad dan ad-Darimi – sanadnya sahih)


Kedua:
Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.

Firman Allah:
“ Wahai orang2 yang beriman janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik dari orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain , kemungkinan wanita yang dihina lebih baik baik dari yang wanita menghina… “ ( 11 : al-Hujarat)

Nabi saw bersabda:


بِحَسْبِ امْرِىءٍ مِنَ الشَّرِ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya:
“Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim.” (Hr Muslim – sahih)

Termasuk dalam menghina ialah dgn meniru perbuatan orang lain.

Aisyah ra berkata “Aku telah meniru perbuatan seorang manusia.” Lalu Rasulullah saw bersabda:
ما أحب أني حكيت أحدا

Maksudnya:
“Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain.”

(Hr Ahmad dan Baihaqi – sanad sahih)

Ketiga:
Melawak yang tidak menakutkan orang lain.

Nukman bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda;
لاَ يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya:
“Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.”

(Hr Thabrani – sahih)

Nabi saw bersabda:
لا يأخذن أحدكم متاع أخيه لاعبا أو جادا

Maksudnya :
“ Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seislamnya dengan niat melawak atau pun betul2.”

(Hr Ahmad – sahih)

Keempat:
Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi saw bersabda:
ثلاث جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتاق

Maksudnya:
“Tiga perkara yang mana yg mana diambil hukumnya samaada dalam keadaan melawak atau serius: 1. Nikah 2. Cerai 3. Membebaskan hamba.

(Hr Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah – sanadnya hasan)


Sesungguhnya Allah telah mencela orang2 musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman Allah swt:

“Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai.” (59 – 61 : an-Najm)

Kelima:
Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.

Nabi saw bersabda:
وَلَا تُكْثِرْ مِنَ الضَّحْكِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحْكِ تُمِيْتُ الْقَلْبَ

Maksudnya:
“Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (Hr Ahmad dan Ibu Majah – sanad hasan)

Saidina Ali ra:


“Masukkan lawak dalam kata2 sekadar kamu memasukkan garam dalam makanan kamu.”


Said bin al-‘As berkata:

“Bersederhanalah dalam melawak. Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yg bodoh akan berani terhadap mu. Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang2 yang hendak bermesra dan menyebabkan orang2 yang berdamping dgn mu berasa rimas.”


Rujukan: Tafsir Sobuni , sahih muslim, Mawahib al-Laduniah bi syarh asSyamail alMuhammadiah oleh syeikh sulaiman Jamal dan Feqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Qardawi.